SEPTEMBER 2022

Program Inisiatif Baharu NCR Beri Manfaat Kepada Pemilik Tanah


SERIAN: Menerusi Program Pengukuran Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) Inisiatif Baharu bermula 2010 hingga 31 Julai 2022, Kerajaan Sarawak melalui Jabatan Tanah dan Survei Sarawak berjaya menyukat secara perimeter seluas 1,040,212 hektar (2.57 juta ekar) di seluruh bahagian negeri ini.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, daripada jumlah itu seluas 800,176 hektar (1.97 juta ekar) telahpun diwartakan.

Pengukuran Tanah NCR Inisiatif Baharu itu adalah kaedah pengukuran yang berkesan dan cepat, katanya pada majlis penyerahan warta rizab komunal Bumiputera di bawah Seksyen 6 Kanan Tanah Negeri (KTN), surat hak milik Seksyen 18 KTN dan lesen pendudukan sementara TOL Bahagian Serian di Kampung Pichin di sini.

Beliau yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua berkata, program pengukuran tanah NCR inisiatif baharu itu dilaksanakan secara dua peringkat.

Peringkat pertama, pengukuran perimeter dan pewartaan di bawah Seksyen 6 KTN sebagai Rizab Komunal Bumiputera (pertanian) dan peringkat kedua, pengukuran secara lot individu dan pengeluaran surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 KTN, katanya.

Empat kawasan iaitu Kampuung Murud Plaman, Kampung Sumpas, Kampung Reban dan Lubok Ria dan Kampung Paon Rimu (Serian) menerima warta rizab komunal Bumiputera di bawah Seksyen 6 KTN pada majlis itu.

Seramai 699 penerima dari Kampung Pichin, Kampung Engkeroh, Kampung Tubih (Serian), Kampung Petag (Padawan) dan Kampung Beradau (Siburan) pula menerima 889 surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 KTN.

Awang Tengah berkata, pengeluaran surat hak milik tanah Seksyen 18 KTN itu memberi banyak manfaat kepada pemilik tanah.

Antaranya ialah tempoh pegangannya kekal (selama-lama/perpetuity), tidak dikenakan cukai tanah tahunan, kos pengukuran tanah dan penyediaan hakmilik tanah dan dikecualikan premium tanah, katanya.

Penyukutan lot individu dan pengeluaran surat hak milik tanah Seksyen 18 KTN itu sedang giat dijalankan di seluruh negeri ini merangkumi semua kaum Bumiputera yang mempunyai hak ke atas hak Bumiputera, tegas beliau.

Pada majlis itu, Awang Tengah turut menyampaikan surat hak milik tanah Seksyen 18 KTN menerusi Program Operasi Penyelesaian yang melibatkan 183 surat hak milik tanah kepada 145 penerima di kawasan penyelesaian Batu Gong, Siburan dan Merang, Serian.

Bagi kawasan SALCRA pula, beliau berkata, sebanyak 58 surat hak milik tanah diserahkan kepada 56 penerima yang terdiri dari kawasan SALCRA Taee, SALCRA Kedup, SALCRA Mongkos dan SALCRA Melikin (Serian).

“Kerjasama dari segi sokongan, kepercayaan dan keyakinan terhadap usaha murni kerajaan diperlukan bagi menangkis tohmahan dan hasutan yang negatif terhadap program pengukuran tanah NCR inisiatif baharu itu,” katanya.

Menurut beliau, tomahan, hasutan serta dakyah yang buruk terhadap program itu hanyalah bersifat sementara dan penghasut itu, adalah orang luar dan tiada tuntutan tanah di satu-satu tempat dan mereka hanya bercakap sahaja bukan memperjuangkan hak tanah NCR.

Akibatnya, tambah beliau, pemilik tanah yang termakan hasutan menyebabkan tanah mereka tidak disukat serta tiada jaminan surat hak milik tanah.

Perkara itu, katanya, perlu diketepikan kerana kerajaan lebih tahu dalam membantu rakyat dalam mempertahankan tanah NCR dengan pengukuran tanah NCR.

Sumber dari : Jiwa Bakti